السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Ramadhan Kareem.
Ramadan datang lagi. Alhamdulillah kita dapat bertemu lagi. Hadirnya kali ini agak berbeza dan lebih mencabar. Hari ini jumaat 24.04.2020 bersamaan 1 Ramadhan 1441 H adalah hari pertama puasa.
saya ingin merakamkan ucapan selamat menjalani ibadah puasa & lainnya kepada seluruh umat Islam di Malaysia khususnya di negeri Selangor.
Buat pertama kalinya, di seluruh dunia, Ramadan kali ini disambut dalam suasana yang unik. Tiada Solat Tarawih dimasjid, tiada bazaar, tiada majlis berbuka puasa diluar, tiada ziarah dan sebagainya.
Kita telah memasuki minggu keenam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kita masih bertarung melawan serangan wabak pandemik Covid-19. Kita duduk rumah bagi memutuskan rantai virus yang mewabak. Teruskan berdoa dan bermunajat kepada Allah semoga bencana ini segera berakhir.
Saya harap kita semua dapat terus bertahan dan bersabar dalam menempuh tempoh waktu yang sukar ini.
Saya akan terus berusaha memberikan khidmat dan bantuan sewajarnya kepada penduduk yang memerlukan agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup yang mencukupi semasa tempoh PKP ini.
Saya mengajak agar kita semua cakna dan mengambil peduli jiran-jiran kita yang mungkin berhadapan dengan kesempitan dan kekurangan bekalan makanan di bulan Ramadan ini.
Marilah kita mengamalkan sikap berjimat-cermat, tidak boros berbelanja dan mengutamakan keperluan yang penting berbanding kehendak nafsu semata-mata.
Hayatilah maqasid puasa semoga kita menjadi insan yang sentiasa mensyukuri nikmat Allah SWT dan meningkatkan amalan di bulan Ramadhan ini.
Selamat beribadah sepanjang Bulan Ramadan Al-Mubarak 1441 Hijrah.